Tuesday, September 1, 2009

Remaja terjebak berpakaian halal, haram

HARI ini nak pakai baju mana ya? Ini soalan yang kita biasa tanya diri kita jika nak keluar bekerja, membeli-belah, menziarahi seseorang dan majlis tertentu, sama ada lelaki atau perempuan, remaja atau yang berusia.

Biasanya kita memilih pakaian yang paling kita suka. Dalam Islam ketika memilih pakaian, kita ada identiti tersendiri.

Semuanya kena ambil kira, soal fiqah dan syariat. Sebab pakaian yang kita pakai sangat kuat terikat dengan keyakinan dan iman dalam hati kita. Malah, pakaian adalah lambang keimanan.

Sebabnya Allah sudah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi." (al-Ahzab: 59)

Rupanya soal pakaian ada disebut kod dan etikanya dan panduan ini mesti diikuti semua Muslimah.

Berpakaian tak boleh ikut suka kita saja sebab kita hamba Tuhan. Sebagai hamba kena ikut tauke dan kalau tidak ikut juga dah kira lawan tauke.

Kali ini E-Usrah ingin menyentuh mengenai pakaian remaja yang nampaknya sudah tidak mengikut kod dan etika al-Quran.

Remaja-remaja di luar sana sudah tidak menghiraukan lagi halal haram dalam pemakaian, asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa 'kononnya' dan mengikut gaya fesyen terkini.

Selain pakaian yang jelas menjolok mata, ramai juga di kalangan remaja kita yang berpakaian '2H' iaitu 'Halal' tetapi 'Haram'.

Ini amat ketara jika kita perhatikan di sekeliling kita, ramai remaja yang bertudung. Apabila sekali lihat, memang nampak mereka menutup aurat.

Bagaimanapun, jika diperhatikan, ramai di kalangan mereka yang berpakaian ketat dan tidak kurang yang berlengan pendek. Pakaian lengan 'three quarter' (tiga perempat) paling glamor dan popular di kalangan remaja bertudung.

Suatu ketika dahulu, pakaian sedemikian begitu mengaibkan dan memalukan, namun kini seolah-olah ia menjadi pakaian yang dialu-alukan.

Mana tidaknya, pakaian sedemikian banyak bersangkutan dan berampaian di gedung pakaian di negara kita ini. Pelbagai fesyen baru hadir bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Terdapat juga pakaian bersaiz kecil sehingga tidak keterlaluan jika kita katakan sekarang begitu sukar untuk membezakan antara pakaian kanak-kanak dan remaja.

Sebilangan daripada remaja kita juga lupa atau tidak tahu jantina mereka sendiri sehingga si lelaki memakai pakaian perempuan, sementara perempuan pula sebaliknya.

Harapnya semoga remaja sekelian berhentilah daripada kebiasaan ini kerana dilaknat Allah. Ini jelas dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."

Ada pula yang berkata: "Berpakaian menutup aurat dan bertudung, nanti tak cantik." Siapa kata tak cantik kalau bertudung, bahkan kelihatan manis, beradab, bersih dan ada gaya tersendiri, sekali gus membezakan antara Muslimah dan bukan Islam.

Ada pula yang berkata, rambut adalah 'mahkota', jadi kenalah tunjuk. Kata-kata itu sangat tidak betul kerana jika rambut mahkota, kenalah simpan baik-baik.

Mengapa kena simpan? Ini kerana raja dan permaisuri pun hanya pakai mahkota di tempat tertentu saja, tak dibawanya ke pasar, kelab malam, padang dan lain-lain tempat, malah di tempat tertentu dan orang tertentu sahaja.

Tunjuklah mahkota itu pada suami tercinta sahaja, bukannya dikongsi dengan orang lain.

Ada pula yang berkata 'ikut fesyen moden dengan seksi dan terdedah senang pikat lelaki dan dapat kekasih.'

Aduhai remaja, jangan rendahkan martabat kita sebab bimbang nanti lelaki akan mempermainkan anda. Kerap berlaku kes 'dapat manis sepah dibuang' iaitu jadi bahan seronok saja.

Kalau dapat kahwin pun tak lama putus di tengah jalan. Rumah tangga dibina akhirnya tinggal tangga sahaja. Ingatlah, pakaian ahli syurga ialah menutup aurat.

Sunday, August 30, 2009

Kewajipan Kita Terhadap Al-Quran

Imam Hasan al-Banna dalam satu taujihatnya kepada ahli-ahli Ikhwan Muslimin berkata; "Hendaklah kamu tunaikan empat kewajipan kamu terhadap al-Quran;

1. Meyakini bahawa tidak ada jalan hidup yang selamat melainkan yang diambil daripada al Quran. Sebarang sistem atau peraturan dalam apa bidang sekalipun jika tidak bersandar atau tidak di ambil daripada al Quran maka ia pasti akan menemui kegagalan.

2. Menjadikan al-Quran sebagai teman hidup iaitu dengan selalu membacanya dan bersungguh-sungguh ketika membacanya. Membaca al Quran hendaklah dijadikan amalan tetap pada setiap hari.

3. Menghormati al-Quran iaitu dengan menjaga adab-adab ketika membaca al-Quran dan juga ketika mendengar bacaan al-Quran.

4. Beramal dengan segala ajaran dan hukum-hakam yang terkandung di dalam al-Quran. Hukum-hakam yang terkandung dalam al Quran terbahagi kepada dua kategori;

a) Hukum-hakam yang berkait dengan setiap individu; iaitu hukum-hakam yang khusus kepada setiap manusia secara individu seperti solat, puasa, haji, taubat, istighfar dan akhlak-akhlak terpuji (benar, memenuhi janji, amanah) dan sebagainya.

b) Hukum-hakam yang berkait dengan masyarakat atau sosial; iaitu hukum-hakam yang berkaitan dengan pemerintahan dan hal-hal yang menjadi kewajipan negara seperti menegakkan undang-undang jenayah Islam (hudud), jihad dan sebagainya. Hukum-hakam ini menjadi kewajipan ke atas negara untuk melaksanakannya. Sekiranya negara tidak melaksanakannya maka ia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah taala dan kewajipan masyarakat pada ketika itu (iaitu ketika hukum-hakam sosial ini tidak dilaksanakan) ialah membuat tuntutan supaya ia dilaksanakan.
(Hassan al Banna,
Hadis as-Thulasa’, hlm. 14-17)

Pembangunan Jiwa Remaja

Dari perspektif Islam, remaja dianggap sudah cukup umur atau diistilahkan sebagai baligh. Pada peringkat remaja, golongan ini mengalami peralihan zaman, antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa. Pada peringkat usia remaja, berlaku perubahan yang pesat sama ada perubahan biologi, fizikal, mental dan emosi serta perubahan tanggungjawab dan peranan. Untuk mengimbangi perubahan-perubahan ini, golongan remaja sering berhadapan dengan masalah dan konflik. Dengan sebab itu, berlakulah ketegangan dan tekanan emosi dalam diri remaja.

Bagi remaja yang bersedia dengan kehadiran masalah dan sanggup menerimanya dengan hati terbuka, mereka berjaya menerima perubahanperubahan itu sekalipun kadang kala pahit baginya. Tetapi bagi sesetengah remaja pula, tidak berupaya menyesuaikan atau menerima dengan mudah perubahan tersebut, lalu menunjukkan gangguan psikologi pada dirinya. Keadaan ini boleh menimbulkan ketegangan dan tekanan kepada emosi remaja. Akibat dari tekanan yang dialami, remaja mungkin menunjukkan sikap yang agresif, mudah memberontak, marah yang tidak dapat dikawal, kemurungan dan terlibat dengan masalah sosial seperti merokok, lumba haram dan dadah
bagi melepaskan rasa tertekan.

Dari perspektif dakwah, remaja yang mengalami tekanan emosi terdedah dengan masalah mental sekiranya permasalahan ini tidak ditangani lebih awal. Golongan remaja ini merupakan golongan yang perlu diberi perhatian dan tidak boleh diabaikan dalam usaha dakwah. Namun begitu, untuk mendapatkan keberkesanan dakwah, pendakwah perlu membuat kajian bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh remaja dan faktor-faktor yang menjadi punca kepada permasalahan tersebut. Di samping itu, pendakwah perlu memahami
perkembangan psikologi remaja supaya dakwah yang disampaikan memberi kesan jauh ke dalam diri golongan ini. Untuk mendapatkan dakwah yang berkesan, pendekatan yang digunakan juga haruslah bersesuaian dan menarik
minat kepada golongan ini.

Oleh itu, dari perspektif dakwah kajian ini melihat dari tiga sudut iaitu mengenalpasti dan memahami permasalahan sasaran dakwah (mad’u) iaitugolongan remaja, pendekatan dakwah (manhaj dakwah) yang sesuai untuk remaja yang mengalami tekanan emosi dan sudut pendakwah (da’i), iaitu bagaimana pendakwah boleh membantu remaja untuk menangani tekanan emosi.

Al-Quran sebagai Rujukan

Al-Quran adalah kalamullah atau wahyu Allah yang diturunkan kepada
Rasulullah melalui Jibril pada Ramadan. Ini sebagaimana ditegaskan Allah
dalam surah al-Qadr, ayat 1 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah
menurunkan (al-Quran) ini pada Malam al-Qadar."

Penurunan al-Quran pada malam itu melengkapkan kelebihan dan keistimewaan
yang menghiasi Ramadan yang penuh berkat itu.

Seterusnya, umat Islam dituntut untuk meyakini bahawa al-Quran adalah kitab
suci daripada Allah, bukannya ciptaan manusia mahupun ciptaan Rasulullah.

Justeru, beriman kepada al-Quran termasuk salah satu Rukun Iman yang enam
yang menjadi tonggak utama kepada addin Islam yang diredai Allah. Dalam hal
ini, Allah menolak dakwaan orang kafir Musyrikin yang meragui kebenaran
al-Quran. Mereka menganggap bahawa al-Quran adalah ciptaan Nabi Muhammad
yang diajar oleh golongan cerdik pandai dan kemudian membukukannya.

Allah berfirman bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) al-Quran itu
diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) daripada Tuhanmu dengan cara yang
sungguh layak dan berhikmat untuk meneguhkan iman orang yang beriman dan
untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang menggembirakan bagi orang
Islam. Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka yang musyrik itu
berkata: Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia. (Padahal) bahasa orang
yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing sedangkan
al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata." – (Surah an-Nahl, ayat
102-103)

Mafhum ayat suci itu jelas mengisyaratkan bahawa al-Quran dibawa oleh
malaikat Jibril daripada Allah untuk pengukuhan keimanan orang yang beriman
dengan isi kandungannya. Ia mengandungi dalil tegas yang membuktikan keesaan
Allah Pencipta alam semesta, kekuasaan-Nya dan keluasan ilmu-Nya.

Pada masa sama, al-Quran juga menggalakkan umat manusia agar memerhati dan
menyelidiki alam langit dan bumi berpandukan dengan suluhan al-Quran yang
berisi panduan hidup. Ia berupaya memajukan mereka dalam semua lapangan
hidup meliputi akhlak, kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk mencapai
peringkat yang tidak dapat ditandingi oleh umat lain.

Ringkasnya, al-Quran adalah sumber ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin
ilmu sehingga terbentuk satu prinsip kerukunan hidup yang serba lengkap di
dunia dan akhirat kelak.

Justeru, al-Quran sewajibnya diangkat sebagai teras dan sumber rujukan utama
yang mendasari seluruh aspek kehidupan manusia, bukan sekadar hiasan yang
tergantung pada dinding rumah atau hiasan.

Sebenarnya makna beriman kepada al-Quran tidak hanya sekadar itu, malahan
menuntut beberapa ciri atau perkara yang juga pelengkap kepada pengertian
beriman kepada al-Quran.

Antara makna beriman kepada al-Quran ialah selaras dengan seruan Rasulullah
kepada umatnya agar sentiasa membaca al-Quran. Baginda pernah bersabda yang
bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengazabkan orang yang hatinya
sentiasa mengingati al-Quran dan beramal dengannya." (Hadis riwayat At
Tausi)

Dalam satu hadis lain, Baginda bersabda maksudnya: "Sebaik-baik kamu ialah
orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Hadis riwayat Bukhari)


Lebih-lebih lagi, membaca al-Quran amat digalakkan bukan saja pada Ramadan,
bahkan pada bulan lain. Di samping itu, adab dan peraturan membaca al-Quran
perlulah dipelihara. Kita juga dituntut memperelokkan bacaannya agar
termasuk dalam koleksi amalan soleh yang diterima Allah. Bukankah Rasulullah
sering kali bertadarus al-Quran bersama Jibril sepanjang malam Ramadan.

Selain membaca, setiap Muslim dituntut untuk memahami dan menghayati maksud,
makna, pengertian dan pengajaran yang tersurat dan tersirat dalam kitab
al-Quran. Ini bertepatan dengan agenda al-Quran sebagai pembawa berita
gembira dan amaran kepada warga alam sejagat.

Di samping itu, al-Quran adalah kitab Allah yang mengandungi hukum-hakam dan
panduan hidup yang lengkap bagi menjamin kelangsungan insan ke arah
kesejahteraan dan kebahagiaan sejati.

Dalam hal ini, Allah berfirman bermaksud: "Haa Mim. Turunnya kitab ini
daripada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi. Sebuah Kitab yang
dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu iaitu al-Quran yang diturunkan dalam
bahasa Arab bagi faedah orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.
Ia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang yang beriman) dan membawa
amaran (kepada orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka
berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab
itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya." – (Surah Fussilat, ayat 1
- 4)

Kefahaman tepat dan betul kepada isi kandungan al-Quran amat penting dalam
mencorakkan tasawwurnya kepada Islam serta memerangi ajaran sesat dan
kebatilan dalam minda dan hati umat manusia.

Untuk itu, sunnah wajar diangkat sebagai sumber rujukan utama untuk menerang
dan menjelaskan maksud kabur dalam al-Quran. Justeru, al-Quran dan sunnah
seumpama teman yang tidak dapat dipisahkan sebagai rujukan utama dalam
setiap bidang lapangan hidup.

Friday, August 28, 2009

Remaja - Kembalilah Kepada Al-Quran dan Al-Sunnah

Masalah sosial di kalangan remaja yang melanda masyarakat dan negara semakin meruncing. Gejala sosial sudah cukup meluas dalam masyarakat kita terutama Melayu Islam. Ia semacam gergasi yang cukup menakutkan; boleh menyergah sesiapa sahaja; boleh memporak-perandakan masyarakat.Pelajar dan remaja merupakan punca gejala sosial. Mereka membuat segala yang jahat. Ia menjadi bahan perbincangan hangat masyarakat, pemimpin, akhbar dan pelbagai media elektronik mutakhir ini.

Masalah sosial ini sebenarnya sudah lama melanda masyarakat dan negara tetapi tahapnya semakin membimbangkan dan meruncing. Kebimbangan ini kerana kejahatan yang dilakukan agak luar biasa dan menakutkan.

Andainya masalah sosial ini diumpamakan nyalaan api, unggun atau bara api itu ialah hati yang kotor. Kita tidak akan dapat memadamkan api jika air dicurahkan kepada nyalaannya, bukan pada pangkal api. Begitulah dengan masalah sosial yang merebak di dalam negara hari ini, akan dapat ditangani hanya dengan mengubati akibat-akibatnya. Tetapi mesti dimulai dengan mengubati puncanya, yakni mengubati hati manusia untuk kembali kepada ajaran Allah S.W.T.

Hiburan yang pelbagai ragam, menyeronokkan, keadaan lingkungan yang tidak selesa, pembangunan yang dijalankan di negara ini menampakkan keganasan dan tidak seimbang mempengaruhi jiwa mereka. Pelbagai sebab yang menjadi punca rakusnya gejala sosial hari ini. Untuk menangani gejala ini, kita bukan sahaja harus memahami rentetan sebab-sebab ini malah harus berani mencari jalan penyelesaiannya.

Alaf baru ini golongan pelajar dan remaja mencabar dengan pelbagai masalah di dalam negara. Gambaran keruntuhan moral di kalangan ahli masyarakat khususnya pelajar-pelajar sekolah, muda-mudi hari ini di semua peringkat menerusi perlakuan seks bebas, kehamilan luar nikah, pembuangan bayi, kesalahan juvana, penagihan dadah, keganasan rumahtangga, pembakaran sekolah, masalah HIV atau AIDS semakin meningkat.

Jangan ada di kalangan kita hari ini menganggapkan gejala kegawatan sosial ini adalah versi baru untuk manusia, sepatutnya ambillah pengajaran dari kisah Kaum Nabi Lut a.s. dibenamkan ke Laut Mati kerana perlakuan seks sumbang, kaum Aad, Thamud dan kaum Nabi Nuh a.s. dengan bala akibat kemungkaran masing-masing. Kini era internet, televisyen, video lucah, media cetak dan sebagainya menjadi hidangan generasi muda tetapi kita mengharapkan jalan pulang ditemui dengan syarat kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

Friday, August 14, 2009

Adab Bersahabat.

Jika mendengar kata sahabat, tentunya yang ada di benak kita adalah seorang teman setia yang penuh pehatian, selalu mahu mendengar masalah-masalah kita, menghargai, membantu di kala susah dan ikut gembira di kala kita gembira. Agama kita telah mangatur semua itu, termasuk bagaimana adab-adab kita dalam bersahabat yang ditujukan untuk mencari redha Allah.

Tujuan Persaudaraan
Hasan al-Bashri rohimahullah dalam hal ini mengatakan, “Seorang teman yang jika engkau temui akan mengingatkanmu akan kewajibanmu terhadap Allah itu lebih baik bagimu dari seorang teman yang selalu memberimu segenggam dinar.”
Beliau juga mengatakan, “Seorang mukmin adalah cermin bagi saudaranya yang lain. Jika dia mendapatkan sesuatu yang tidak menyenangkan pada diri saudaranya, ia bersegera meluruskan juga selalu menjaga aib saudaranya baik ketika sendirian atau ketika bersama orang lain."
Kalaupun kita melihat kejelekan dan kekurangan secara tak sengaja, maka tidaklah perlu membicarakan kejelekan pada orang lain. Tutupilah kelemahannya itu, dan jadikan sebagai rahsia peribadimu sepanjang hayat.
Itulah hakikat persahabatan sebenarnya. Sesungguhnya seorang yang lemah akan lebih mampu untuk meluruskan nafsunya yang hendak berbuat maksiat dengan bantuan teman-temannya.

Bantuan Material
Ada muslim yang dilebihkan dalam hal rezeki atau kewangan dan ada juga yang kekurangan. Ini adalah sunnatulloh. Segalanya diciptakan oleh Allah dengan pengetahuan dan keadilan-Nya yang sempurna. Membantu kesulitan dalam hal material, adalah salah satu adab kita dalam bersahabat. Dan juga sebagai wasilah mendulang pahala kita. Rasulullah SAW bersabda yang ertinya, “Dan barangsiapa yang membebaskan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan membebaskan kesusahannya di hari kiamat. “ (Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim).

Saling Menolong dalam hal Kebaikan
Firman Allah dalam surat al-Maidah ayat 2 yang ertinya, “…. Tolong menolonglah dalam kebaikan serta takwa dan jangan tolong menolong dalam kemungkaranan dan permusuhan…”
Sebagaimana juga janji Rasulullah SAW , “Allah akan selalu menolong hamba selama hamba itu menolong saudaranya.” (Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim).

Menahan Lidah
Rasulullah SAW bersabda yang artinya, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaknya berkata yang baik atau diam.” (Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim).

Buatlah Senang
Teman yang baik akan berusaha memberikan kesenangan kepada kawannya. Setiap bertemu bisa mengubati perasaan gundah yang menimpa. Sekali-kali berikanlah hadiah kepada sahabat. Rasulullah SAW pernah bersabda yang ertinya, “Berikanlah hadiah nescaya kalian akan saling mencintai.”

Maafkan, sembunyikan dan baik sangka
Manusia tempatnya salah dan silap. Orang lain mungkin berbuat salah, demikian juga dengan diri kita. Bila sedar akan hal ini semestinya kita akan bersikap arif. Kesalahan dan kekhilafan saudara kita hendaknya dimaafkan. Disamping memaafkan kita tidak boleh menyebarkan aib kepada orang lain. Allah menjanjikan pahala besar bagi orang yang mahu menutupi aib saudaranya sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang ertinya, “Barangsiapa yang menutupi aib saudaranya sesama muslim maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat. ” ( Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim).
Memaafkan, menyembunyikan kekurangan dan nasihati dengan kebaikan dilakukan dengan empat mata, dengan memperhatikan adab-adabnya.

Setia
Kesetiaan sangat disertakan dalam persahabatan dan diharapkan kekal sampai negeri abadi. Dan karananya tidaklah boleh seseorang mengkhianatinya. Rasulullah SAW bersabda yang ertinya, “Seorang muslim adalah saudara muslim yang lain, tidak boleh dikhianati, didustai, tidak dihinakan orang.” (Riwayat at-Tirmidzi).

Ungkapkan dengan doa
Doakan selalu untuk keistiqomahan sahabat kita dalam menjalankan ibadah kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Bahkan sekalipun telah meninggal.
“…Ya Rabb Kami, beri ampunlah Kami dan saudara-saudara Kami yang telah beriman lebih dulu dari Kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati Kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb Kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” ( QS. Al Hasyr : 10)

Sumber : Adab Bersahabat.

Antara Murid & Guru

MURID BANGGA DENGAN GURU

Ia adalah satu fenomena biasa.

Mungkin suatu ketika seseorang boleh berasa cukup bangga kerana dapat menjadi MURID kepada seseorang tokoh guru.

Perasaan ini boleh sampai ke suatu peringkat, menyebabkan si murid ‘buta' dengan keilmuan orang lain juga menafikan kealiman guru-guru lain. Tentunya ia amat percaya dengan keilmuan gurunya.

Di waktu yang sama, ada yang menjulang nama GURUnya setinggi mungkin. Ada dua kemungkinan sebab untuk tindakan ini; Pertamanya untuk menunjukkan kehebatan dirinya, Keduanya guru tersebut sememangnya layak.

Tidak kurang ada yang menggelarkan gurunya sebagai Wali, Kassyaf, Imam, Syeikh, Al-Allamah, Kiyai, Tuan Guru, Pakar rujuk, Mujaddid, Al-Hafidz dan lain-lain gelaran lagi. Semuanya menunjukkan betapa penghargaan murid terhadap keilmuan sang guru dan bertuahnya diri dapat menceduk ilmu darinya.

Namun sebenarnya, murid tidak begitu berautoriti untuk mengiktiraf guru sebagai ‘alim atau hebat. Ini kerana dia sendiri masih murid dan tiada kemampuan untuk menilai sesuatu ilmu itu sama ada ia tinggi, sederhana atau rendah.

Ini menyebabkan murid sebenarnya tidak mampu menilai malah tidak layak, KECUALI ia mengambil penilaiannya dari seorang guru dan alim lain, ATAU dia bukan murid biasa yang baru belajar tetapi murid yang telah tinggi ilmunya cuma menjadi murid untuk melengkapkan keilmuannya. Ia banyak berlaku di zaman silam, seperti Imam As-Syafie yang bijak dan lagi amat alim memuji gurunya Imam Malik dengan katanya :-

إذا جاء الأثر فمالكٌ النجم

Ertinya : "Apabila tiba sahaja kepada hal ‘al-athar' ( iaitu hadis-hadis nabawi yang sohih), maka (Imam) Maliklah bintangnya"

Kerana itulah satu hari di ketika Ali r.a duduk di sisi Nabi s.a.w, tiba-tiba Abu Bakar As-Siddiq r.a masuk, dengan segara Ali bangkit berdiri hingga menyebabkan Nabi tersenyum lalu diriwayatkan berkata oleh Anas bin Malik :

إِنَّمَا يَعْرِفُ الْفَضْلَ لأَهْلِ الْفَضْلِ أَهْلُ الْفَضْلِ

Ertinya : "Sesungguhnya yang mengetahui kelebihan seseorang adalah orang yang mempunyai kelebihan juga" ( Al-Jami' As-Soghir, As-Suyuti)

Tidak hairan juga jika wujud murid yang menumpang kemashuran Guru, menisbahkan diri kepada sang guru. Padahal di mata guru itu mungkin, si murid itu adalah yang paling lembap di dalam pengajiannya.

GURU BANGGA DENGAN MURID

Murid berbangga dengan gurunya adalah fenomena biasa, namun jika seorang guru berbangga dengan muridnya, itu juga normal tetapi sedikit luar biasa dan amat positif.

Ia jarang berlaku kecuali bagi mereka yang benar-benar cemerlang di dalam pengajiannya.

Tidka kurang juga kita dapati dalam sejarah Islam dan lainnya, sang murid lebih berpengetahuan, hebat, terkenal dan berjaya dari gurunya. Lihat sahasja kepada Imam Abu Hanifah An-Nu'man, Imam Malik, Imam As-Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal, Al-Bukhari, Muslim, Shamsuddin Az-Zahabi dan ramai lagi senarainya.

Justeru, tempatkanlah diri anda dari kalangan murid yang boleh dibanggai oleh guru.

Malah sehingga satu peringkat, wujud guru yang asyik menghebah kepada ramai bahawa si polan bin si polan adalah anak muridnya. Ia dihebah bagi tujuan, sama ada cuba ‘menumpang' kejayaan muridnya, atau lain-lain tujuan.

Benar, si murid pastinya terhutang budi dan ilmu kepada guru, namun guru ada pelbagai jenis guru. Ada guru yang melepaskan batuk di tangga semasa mengajar dan tidak memberi manfaat yang banyak dalam pembentukan diri dan kejayaan sang murid.

Terdapat juga guru, yang anak muridnya tidak perolehi apa-apa ilmu tambahan dari pengajarannya, hanya sekadar duduk dan mendengar ilmu-ilmu lama dan biasa di ulang-ulang. Guru sebegini juga patut memuhasabah diri jika ingin sewenangnya ‘mendakwa' kejayaan muridnya adalah kerana kebijaksanaannya.

Saya ingat-ingat lupa bagaimana kata-kata Syeikh Muhammad Al-Ghazzali (tokoh dakwah dan ulama Mesir) berkenaan Al-Syeikh Dr. Yusuf Qaradawi.

Asalnya, Muhammad Al-Ghazzali adalah berpangkat guru kepada Al-Qaradawi, namun setelah kedua-dua mereka berkembang sebagai tokoh dakwah dan ilmuan hebat di peringkat antarabangsa. Syeikh Al-Ghazzali berkata yang maksudnya:

"Dulu dia adalah muridku tetapi kini aku adalah muridnya"

Demikian murninya pertalian mereka dan tawadhu'nya diri si guru selain pengiktirafan terbesar dari guru adalah apabila mengganggap dirinya kini sebagai murid kepada bekas anak muridnya.


LEBIH PELIK

Malah lebih pelik dari itu, muncul guru yang bukan guru. Bagaimana?

Teringat saya seorang wanita bertanya kepada saya,

"Nak Tanya ustaz, ustaz kenal tak ....bin ....?" Tanya muslimat ini kepada saya

"Tidak ingat pula" jawab saya

"Dia kata ustaz ni anak murid dia, betul ke ustaz?"

" Hmm, seingat saya saya tiada guru yang bernama sepertinya, mungkin dia tersilap orang kerana nama zaharuddin di Malaysia ni bukan saya seorang" Jawab saya

"Tapi ustaz, saya dah tunjukkan laman web ustaz, dan dia masih mendakwa ustaz anak muridnya" kata muslimat ini lagi.

"Jika demikian dakwaannya, saya cenderung mengatakannya sedang menipu saudari" tegas saya

"Dia sebenarnya sedang melamar saya ustaz, dan semasa kami bertaaruf dia mendakwa ustaz anak muridnya" katanya lagi

Demikian juga wujud rupanya, kini wujud bukan guru mendakwa seseorang lain sebagai anak muridnya hanya untuk memikat hati seorang wanita, malah untuk menaikkan ‘kehebatan'nya mungkin. Amat malanglah teknik penipuan sebegini dalam memikat hati wanita.

KESIMPULAN

Bagi murid, jadilah murid yang dibanggai oleh guru, diberi contoh teladan oleh guru kepada muridnya yang lain, disenangi guru dan dirasa amat bertuah oleh guru. Khususnya bagi mereka yang sedang berada di pusat-pusat pengajian di seluruh dunia, terutamanya bagi mereka yang berada di dalam ruang lingkup pengajian Islam.

Janganlah jadi murid yang ‘menunjuk pandai' di hadapan guru atau mengkritik guru di belakangnya tanpa haq. Jika benar, guru tidak pandai, tersalah, menyeleweng dan sebagainya, tunjukkan ‘pandai' kepadanya secara ‘pandai', nescaya bermanfaat dan jangan menunjuk pandai secara tidak bijak.

Bagi guru ; jadilah guru yang boleh dibanggai dan dirasa bertuah oleh muridmu, justeru mantapkan keilmuanmu dan penyampaianmu. Jika sang guru merasakan sumbangannya kepada sang murid yang telah berjaya adalah sumbangan penuh seribu satu kelemahan, bersyukur bersendirian sahajalah.

Kita tidak mahu wujud murid yang mencebik mulut atau mengangkat kening bila diingatkan kepadanya bahawa si polan bin si polan adalah bekas gurunya satu ketika dahulu. Kerana ‘guru' itu tidak seperti ‘guru' sebenarnya.

Bagi semua ; janganlah mendakwa seseorang yang lain sebagai anak muridmu jika ia tidak benar hanya semata untuk menaikkan namamu. Kelak ia akan menjatuhkanmu seribu anak tangga.


Sumber Dipetik : Ust Zaharuddin