Sunday, August 30, 2009

Pembangunan Jiwa Remaja

Dari perspektif Islam, remaja dianggap sudah cukup umur atau diistilahkan sebagai baligh. Pada peringkat remaja, golongan ini mengalami peralihan zaman, antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa. Pada peringkat usia remaja, berlaku perubahan yang pesat sama ada perubahan biologi, fizikal, mental dan emosi serta perubahan tanggungjawab dan peranan. Untuk mengimbangi perubahan-perubahan ini, golongan remaja sering berhadapan dengan masalah dan konflik. Dengan sebab itu, berlakulah ketegangan dan tekanan emosi dalam diri remaja.

Bagi remaja yang bersedia dengan kehadiran masalah dan sanggup menerimanya dengan hati terbuka, mereka berjaya menerima perubahanperubahan itu sekalipun kadang kala pahit baginya. Tetapi bagi sesetengah remaja pula, tidak berupaya menyesuaikan atau menerima dengan mudah perubahan tersebut, lalu menunjukkan gangguan psikologi pada dirinya. Keadaan ini boleh menimbulkan ketegangan dan tekanan kepada emosi remaja. Akibat dari tekanan yang dialami, remaja mungkin menunjukkan sikap yang agresif, mudah memberontak, marah yang tidak dapat dikawal, kemurungan dan terlibat dengan masalah sosial seperti merokok, lumba haram dan dadah
bagi melepaskan rasa tertekan.

Dari perspektif dakwah, remaja yang mengalami tekanan emosi terdedah dengan masalah mental sekiranya permasalahan ini tidak ditangani lebih awal. Golongan remaja ini merupakan golongan yang perlu diberi perhatian dan tidak boleh diabaikan dalam usaha dakwah. Namun begitu, untuk mendapatkan keberkesanan dakwah, pendakwah perlu membuat kajian bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh remaja dan faktor-faktor yang menjadi punca kepada permasalahan tersebut. Di samping itu, pendakwah perlu memahami
perkembangan psikologi remaja supaya dakwah yang disampaikan memberi kesan jauh ke dalam diri golongan ini. Untuk mendapatkan dakwah yang berkesan, pendekatan yang digunakan juga haruslah bersesuaian dan menarik
minat kepada golongan ini.

Oleh itu, dari perspektif dakwah kajian ini melihat dari tiga sudut iaitu mengenalpasti dan memahami permasalahan sasaran dakwah (mad’u) iaitugolongan remaja, pendekatan dakwah (manhaj dakwah) yang sesuai untuk remaja yang mengalami tekanan emosi dan sudut pendakwah (da’i), iaitu bagaimana pendakwah boleh membantu remaja untuk menangani tekanan emosi.

No comments:

Post a Comment