Sunday, August 30, 2009

Al-Quran sebagai Rujukan

Al-Quran adalah kalamullah atau wahyu Allah yang diturunkan kepada
Rasulullah melalui Jibril pada Ramadan. Ini sebagaimana ditegaskan Allah
dalam surah al-Qadr, ayat 1 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah
menurunkan (al-Quran) ini pada Malam al-Qadar."

Penurunan al-Quran pada malam itu melengkapkan kelebihan dan keistimewaan
yang menghiasi Ramadan yang penuh berkat itu.

Seterusnya, umat Islam dituntut untuk meyakini bahawa al-Quran adalah kitab
suci daripada Allah, bukannya ciptaan manusia mahupun ciptaan Rasulullah.

Justeru, beriman kepada al-Quran termasuk salah satu Rukun Iman yang enam
yang menjadi tonggak utama kepada addin Islam yang diredai Allah. Dalam hal
ini, Allah menolak dakwaan orang kafir Musyrikin yang meragui kebenaran
al-Quran. Mereka menganggap bahawa al-Quran adalah ciptaan Nabi Muhammad
yang diajar oleh golongan cerdik pandai dan kemudian membukukannya.

Allah berfirman bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) al-Quran itu
diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) daripada Tuhanmu dengan cara yang
sungguh layak dan berhikmat untuk meneguhkan iman orang yang beriman dan
untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang menggembirakan bagi orang
Islam. Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka yang musyrik itu
berkata: Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia. (Padahal) bahasa orang
yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing sedangkan
al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata." – (Surah an-Nahl, ayat
102-103)

Mafhum ayat suci itu jelas mengisyaratkan bahawa al-Quran dibawa oleh
malaikat Jibril daripada Allah untuk pengukuhan keimanan orang yang beriman
dengan isi kandungannya. Ia mengandungi dalil tegas yang membuktikan keesaan
Allah Pencipta alam semesta, kekuasaan-Nya dan keluasan ilmu-Nya.

Pada masa sama, al-Quran juga menggalakkan umat manusia agar memerhati dan
menyelidiki alam langit dan bumi berpandukan dengan suluhan al-Quran yang
berisi panduan hidup. Ia berupaya memajukan mereka dalam semua lapangan
hidup meliputi akhlak, kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk mencapai
peringkat yang tidak dapat ditandingi oleh umat lain.

Ringkasnya, al-Quran adalah sumber ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin
ilmu sehingga terbentuk satu prinsip kerukunan hidup yang serba lengkap di
dunia dan akhirat kelak.

Justeru, al-Quran sewajibnya diangkat sebagai teras dan sumber rujukan utama
yang mendasari seluruh aspek kehidupan manusia, bukan sekadar hiasan yang
tergantung pada dinding rumah atau hiasan.

Sebenarnya makna beriman kepada al-Quran tidak hanya sekadar itu, malahan
menuntut beberapa ciri atau perkara yang juga pelengkap kepada pengertian
beriman kepada al-Quran.

Antara makna beriman kepada al-Quran ialah selaras dengan seruan Rasulullah
kepada umatnya agar sentiasa membaca al-Quran. Baginda pernah bersabda yang
bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengazabkan orang yang hatinya
sentiasa mengingati al-Quran dan beramal dengannya." (Hadis riwayat At
Tausi)

Dalam satu hadis lain, Baginda bersabda maksudnya: "Sebaik-baik kamu ialah
orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Hadis riwayat Bukhari)


Lebih-lebih lagi, membaca al-Quran amat digalakkan bukan saja pada Ramadan,
bahkan pada bulan lain. Di samping itu, adab dan peraturan membaca al-Quran
perlulah dipelihara. Kita juga dituntut memperelokkan bacaannya agar
termasuk dalam koleksi amalan soleh yang diterima Allah. Bukankah Rasulullah
sering kali bertadarus al-Quran bersama Jibril sepanjang malam Ramadan.

Selain membaca, setiap Muslim dituntut untuk memahami dan menghayati maksud,
makna, pengertian dan pengajaran yang tersurat dan tersirat dalam kitab
al-Quran. Ini bertepatan dengan agenda al-Quran sebagai pembawa berita
gembira dan amaran kepada warga alam sejagat.

Di samping itu, al-Quran adalah kitab Allah yang mengandungi hukum-hakam dan
panduan hidup yang lengkap bagi menjamin kelangsungan insan ke arah
kesejahteraan dan kebahagiaan sejati.

Dalam hal ini, Allah berfirman bermaksud: "Haa Mim. Turunnya kitab ini
daripada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi. Sebuah Kitab yang
dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu iaitu al-Quran yang diturunkan dalam
bahasa Arab bagi faedah orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.
Ia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang yang beriman) dan membawa
amaran (kepada orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka
berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab
itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya." – (Surah Fussilat, ayat 1
- 4)

Kefahaman tepat dan betul kepada isi kandungan al-Quran amat penting dalam
mencorakkan tasawwurnya kepada Islam serta memerangi ajaran sesat dan
kebatilan dalam minda dan hati umat manusia.

Untuk itu, sunnah wajar diangkat sebagai sumber rujukan utama untuk menerang
dan menjelaskan maksud kabur dalam al-Quran. Justeru, al-Quran dan sunnah
seumpama teman yang tidak dapat dipisahkan sebagai rujukan utama dalam
setiap bidang lapangan hidup.

No comments:

Post a Comment