Friday, August 28, 2009

Remaja - Kembalilah Kepada Al-Quran dan Al-Sunnah

Masalah sosial di kalangan remaja yang melanda masyarakat dan negara semakin meruncing. Gejala sosial sudah cukup meluas dalam masyarakat kita terutama Melayu Islam. Ia semacam gergasi yang cukup menakutkan; boleh menyergah sesiapa sahaja; boleh memporak-perandakan masyarakat.Pelajar dan remaja merupakan punca gejala sosial. Mereka membuat segala yang jahat. Ia menjadi bahan perbincangan hangat masyarakat, pemimpin, akhbar dan pelbagai media elektronik mutakhir ini.

Masalah sosial ini sebenarnya sudah lama melanda masyarakat dan negara tetapi tahapnya semakin membimbangkan dan meruncing. Kebimbangan ini kerana kejahatan yang dilakukan agak luar biasa dan menakutkan.

Andainya masalah sosial ini diumpamakan nyalaan api, unggun atau bara api itu ialah hati yang kotor. Kita tidak akan dapat memadamkan api jika air dicurahkan kepada nyalaannya, bukan pada pangkal api. Begitulah dengan masalah sosial yang merebak di dalam negara hari ini, akan dapat ditangani hanya dengan mengubati akibat-akibatnya. Tetapi mesti dimulai dengan mengubati puncanya, yakni mengubati hati manusia untuk kembali kepada ajaran Allah S.W.T.

Hiburan yang pelbagai ragam, menyeronokkan, keadaan lingkungan yang tidak selesa, pembangunan yang dijalankan di negara ini menampakkan keganasan dan tidak seimbang mempengaruhi jiwa mereka. Pelbagai sebab yang menjadi punca rakusnya gejala sosial hari ini. Untuk menangani gejala ini, kita bukan sahaja harus memahami rentetan sebab-sebab ini malah harus berani mencari jalan penyelesaiannya.

Alaf baru ini golongan pelajar dan remaja mencabar dengan pelbagai masalah di dalam negara. Gambaran keruntuhan moral di kalangan ahli masyarakat khususnya pelajar-pelajar sekolah, muda-mudi hari ini di semua peringkat menerusi perlakuan seks bebas, kehamilan luar nikah, pembuangan bayi, kesalahan juvana, penagihan dadah, keganasan rumahtangga, pembakaran sekolah, masalah HIV atau AIDS semakin meningkat.

Jangan ada di kalangan kita hari ini menganggapkan gejala kegawatan sosial ini adalah versi baru untuk manusia, sepatutnya ambillah pengajaran dari kisah Kaum Nabi Lut a.s. dibenamkan ke Laut Mati kerana perlakuan seks sumbang, kaum Aad, Thamud dan kaum Nabi Nuh a.s. dengan bala akibat kemungkaran masing-masing. Kini era internet, televisyen, video lucah, media cetak dan sebagainya menjadi hidangan generasi muda tetapi kita mengharapkan jalan pulang ditemui dengan syarat kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

No comments:

Post a Comment